Sunday, November 25, 2012

Tangisan Umar Abd Aziz

Pada satu malam, Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz rah duduk setelah menunaikan beberapa rakaat solat malamnya. Sambil kedua-dua telapak tangannya diletakkan ke dahinya beliau menangis dengan esakan yang kuat diiringi dengan airmatanya membasahi pipi dan janggutnya.

Isterinya Fatimah berkata tiadalah sesaorang yang lebih takut kepada Allah swt selain suamiku. Esakan dan tangisannya seolah-olah dadanya telah terbelah. Tangisan itu berterusan sehinggalah ke Subuh. Keesokannya pula beliau akan berpuasa sepanjang-panjang hari.

Isterinya Fatimah datang mendekatinya dan bertanya dengan suara yang lembut: “ Wahai Amirul Mukminin, adakah engkau menangis kerana sesuatu dosa yang terjadi sebelumnya.” Umar bin Abdul Aziz rah menjawab, “ Ya , benar, biarkanlah aku bersendirian dengan keadaan begini wahai isteriku.”. Fatimah berkata lagi, “ Tapi wahai Amirul Mukmini ceritakanlah sedikit kepadaku.”

Umar bin Abdul Azizi berkata, “ Baiklah akan aku ceritakan kepada kamu: Sesungguhnya aku melihat pada diriku bahawa aku telah diamanahkan sesuatu tangguhjawab yang sangat besar. Aku dimanahkan untuk mentadbir umat ini samada anak-anak kecil, orang dewasa, juga yang berkulit hitam maupun yang berkulit kemerah-merahan. Setiap orang-orang gila yang hilang dari rumah kediamannya juga aku bertanggungjawab ka atasnya. Fakir miskin yang hidup melarat juga menjadi tanggung jawab aku untuk menguruskannya. Setiap tawanan perang yang hilang dari tahanan juga terpikul ke atas aku. Tangisan dan keluh kesah mereka-mereka yang sengsara di seluruh negeri , daerah dan kampung adalah amanah ke atasku untuk meyelesaikannya.”

“Aku tersangat mengetahui bahawa satu-satunya jalan keluar buat mereka adalah bilamana di dalam diri-diri mereka ada Allah dan Rasulnya.” Maka tersangat aku takut apabila Allah swt bertanya kepadaku namun pada ketika itu tidak ada satu dalih dan alasan pun untuk aku kemukakan kepada Allah atas semua amanah dan tanggung jawab ini. Juga aku malu kepada Rasulullah bilamana aku ditanyai dengan amanah dan tanggungjawab ini. Ketakutan inilah yang menyebabkan aku menangis sepanjang malam dan kehausan di siang hari. Setiap kali aku mengingati persoalan ini setiap kali itulah ketakutan mneyelubungi diriku .”

Akhirnya beliau menambah,“ Sekarang aku telah memberitahu kepada kamu semua ini dan jadikanlah ianya pengajaran dan tinggalkanlah aku sendirian.” Beliau terus menangis sehinggalah kedengaran Azan Subuh.

1 comment: