Friday, November 23, 2012

Hikmah Memuliakan Tetamu

Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia mengucapkan kata-kata yang baik atau lebih baik diam. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghormati tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya”.

(Bukhari dan Muslim)

AL-BUKHARI dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Pernah datang seorang lelaki kepada Nabi, lalu berkata: Sesungguhnya aku sangat lapar. Baginda pun menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada salah seorang isteri Baginda, namun isteri Baginda berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air. Baginda pula lalu menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada isteri Baginda yang lain, namun isteri Baginda ini juga mengatakan hal yang sama, sehingga semua isteri Baginda juga mengatakan hal yang sama, iaitu: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.

Nabi lalu berkata kepada sahabat: Adakah daripada kamu yang mahu menjamu orang ini malam ini? Seorang daripada kalangan Ansar berkata: Saya, wahai Rasulullah. Seterusnya, orang itu pun membawa orang tadi ke rumahnya. Sesampai di rumah, dia berkata kepada isterinya: Muliakanlah tetamu Rasulullah ini.

Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa dia berkata kepada isterinya: Adakah engkau mempunyai makanan? Isterinya menjawab: Tidak, kecuali hanya sebatas yang cukup untuk makan anak-anak kita.

Dia berkata: Lakukanlah sesuatu yang boleh membuat mereka lupa makan. Jika mereka teringat minta makan, maka dodoikanlah mereka. Seterusnya, jika tetamu kita sudah siap untuk bersantap apa yang kita hidangkan, padamkanlah lampunya dan tunjukkanlah tanda bahawa kita seakan-akan juga ikut makan.


Akhirnya, mereka duduk bersama di ruang makan dan tetamu itu pun menyantap makanan, sementara tuan rumah melalui malam harinya dengan perut kosong. Pagi harinya, orang Ansar tadi melaporkan apa yang diperbuatnya semalam kepada Nabi dan Baginda berkata: Sesungguhnya Allah merasa gembira terhadap apa yang kamu lakukan terhadap tetamu kamu malam tadi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)





Huraian :
Tetamu, secara pasti datang dengan maksud dan tujuan tertentu. Dalam konteks inilah Allah dengan tegas membuat pertimbangan yang begitu besar agar memuliakan tetamu dan meletakkan nilainya sama dengan Beriman Kepada Allah dan Hari Kemudian (kiamat). Dengan perkataan lain seseorang itu belum disebut beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, selama ia tidak memuliakan tetamunya. Oleh itu apabila tetamu datang, bagaimana pun bentuk dan rupa tetamu itu, sama ada kaya, miskin, Islam ataupun kafir, Allah memerintahkan kita agar memuliakan mereka. Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s pernah ditegur oleh Allah SWT, kerana pada saat baginda didatangi seorang tetamu dari kaum kafir, baginda tidak sepenuh hati memuliakan tetamunya itu. Baginda merasa tidak perlu memuliakan dan menghargai tetamunya seperti baginda memuliakan dan menghargai tetamunya dari sesama pengikutnya. ‘Disebabkan ia bukan umatku yang beriman’, begitulah fikir Nabi Sulaiman. Lantas baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya. Setelah tetamu itu pulang, datanglah malaikat Jibril a.s menyampaikan teguran Allah: "Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu ? Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?" Jibril bertanya:"Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?" "Allah!" Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin. "Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?" "Allah!" "Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?" "Allah!" "Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?" "Allah!"
"Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?" Nabi Sulaiman a.s terdiam dan terus bersujud.
"Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini." Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, datangilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.". Bergegaslah Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman a.s dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: "Saudara, tunggu...!" Tetamu tadi menoleh dan hairan melihat keadaan Nabi Sulaiman. "Kenapa?" "Saudara... sudikah engkau memaafkan perlakuan saya , ketika mana saudara menjadi tetamu di rumah saya tadi?" Orang itu diam. Dalam hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda. Tetapi dia terus juga bertanya: "Kenapa, wahai Sulaiman?" "Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku."
"Allah? Siapakah dia?" Tetamu itu bertanya. "Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya."
"Lalu, kenapa Dia menegurmu?" "Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?"
"Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?" Tetamu itu bertanya penuh taajub ."Iya...! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu" Nabi Sulaiman meminta.
"Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!" Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.
Sumber: Buku Ringkasan Riyadhus Solihin

No comments:

Post a Comment