Sunday, November 25, 2012

Ihsan Dalam Kehidupan



“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu”
Ungkapan tinggi seorang Nabi, pada hadith Islam, Iman dan Ihsan itu, saya baca berulang kali.

Beribadah seakan kamu melihat Allah.


Tidak sukar untuk saya fikirkan, betapa besarnya kesan beribadah di dalam solat, atau beribadah di dalam pekerjaan dan muamalat, jika diri sampai merasa melihat Allah.

Seumpama saya diberi soalan peperiksaan oleh pensyarah, dan beliau berdiri di hadapan saya memerhatikan setiap jawapan yang saya tuliskan. Pasti sahaja saya menulis dengan cermat, sentiasa rasa gelisah apakah jawapan yang dicatat itu sesuai dengan apa yang telah diajarkan oleh pensyarah saya. Tidakkah serta merta beliau kecewa dan marah, jika saya menjawab dengan apa yang menyalahi ajarannya.

Tertekan, dan tiada ruang untuk sambil lewa.

Seumpama saya di tempat kerja, majikan sentiasa berdiri di sisi, memerhatikan saya, tetapi yang lebih utama adalah saya sendiri sentiasa memerhatikan dia. Tidak mungkin kerja saya sambil lewa, kerana saya tahu dia yang menggaji dan menilai kerja saya, sedang berada jelas di sisi saya, di hadapan perhatian saya.

Ia kemuncak tumpuan dan perhatian.

Namun tidak semudah itu untuk saya merasainya. Dalam banyak keadaan, pensyarah tidak berdiri di sisi meja saya. Dalam suasana sebenar di tempat kerja, lazimnya saya bertindak dan bekerja di bawah pemantauan yang minimun. Majikan jarang ada bersama.

Tetapi kertas jawapan saya tetap akan dibaca oleh pensyarah. Saya tetap akan kembali menemuinya di hari-hari mendatang. Kemarahan dan kekecewaannya terhadap performance saya, tetap akan memberi kesan pada hubungan saya dengan pensyarah, pada satu hari dan masa di hadapan kelak.

Malah jika majikan saya tiada bersama, tempat kerja saya sentiasa ada CCTV yang memerhati. Ada pegawai yang membuat laporan kualiti kerja saya. Akhirnya, apa sahaja yang saya lakukan di belakang majikan, tetap akan sampai dan terpampang di hadapannya.

Maka jika saya tidak dapat menimbulkan rasa pensyarah dan majikan memerhati, saya sepatutnya masih mampu mengekalkan amanah terhadap pekerjaan, dengan memelihara rasa diri ini diperhati.

Itulah tingginya peranan Ihsan sebagai pencetus usaha terbaik, dalam setiap ibadah dan pekerjaan. Tidak sambil lewa, malah semuanya dilakukan dengan sepenuh upaya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment