Friday, November 23, 2012

Bab 14 : Azan dan Iqamah

PENGERTIAN AZAN DAN IQAMAH

Azan dan iqamah adalah dua perkara sunat dilakukan sebelum melakukan mana-mana sembahyang fardhu.
Azan dari segi bahasa bermaksud pemberitahuan. Manakala dari segi syara‘ pula diertikan sebagai suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardhu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.
Iqamah pula bermaksud sebutan tertentu untuk membangkitkan para hadirin mengerjakan sembahyang.
HUKUM AZAN DAN IQAMAH

Azan dan iqamah adalah sunnah mu’akkadah secara kifayah sebelum menunaikan setiap sembahyang fardhu sama ada dilakukan secara berjama‘ah atau bersendirian, sama ada sembahyang qadha’ atau tunai bagi orang lelaki.
Bagi lelaki yang bersembahyang bersendirian, kedua-duanya (azan dan iqamah) disunatkan secara ‘aini. Bagi kaum wanita pula, sama ada berseorangan atau berjama‘ah disunatkan melakukan iqamah sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah dengan meninggikan suara mereka.

SYARAT SAH AZAN DAN IQAMAH

1. Masuk waktu sembahyang melainkan waktu Subuh kerana ia mempunyai dua azan. Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu iaitu bermula waktunya selepas berlalu separuh malam.

2. Hendaklah dengan bahasa Arab, tetapi boleh melakukan azan untuk diri sendiri dengan terjemahannya sekiranya tidak tahu melakukan azan dengan bahasa tersebut.

3. Azan dan Iqamah hendaklah dinyaringkan biarpun didengari oleh salah seorang daripada jama‘ah ketika sembahyang berjama‘ah.

4. Tertib dan muwalat di antara lafaz azan dan iqamah.

5. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja.

6. Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki muslim yang berakal.

AZAN DAN IQAMAH UNTUK TUJUAN SELAIN SEMBAHYANG


Selain untuk tujuan sembahyang, azan dan iqamah juga sunat dilakukan untuk beberapa perkara lain:

1. Azan di telinga kanan kanak-kanak yang baru lahir, begitu juga sunat diiqamahkan pada telinga kiri. Ini adalah kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri telah mengazankan telinga Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.

2. Azan pada waktu kebakaran, waktu perang dan di belakang orang yang bermusafir.

3. Azan pada telinga orang yang berdukacita, orang yang jatuh, orang yang marah atau manusia yang menjadi liar perangainya dan juga orang yang dirasuk jin atau syaitan.

No comments:

Post a Comment