Saturday, November 24, 2012

Pujukan Syaitan

Pesan Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya syaitan itu berjalan di dalam diri manusia mengikuti perjalanan darah. Oleh kerana itu, aku takut syaitan akan melontarkan sesuatu tuduhan atau membisikkan sesuatu kejahatan di dalam hati kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Syaitan atau Iblis diciptakan oleh Allah s.w.t. daripada api. Oleh kerana itu mereka menganggap kejadian atau penciptaan mereka itu lebih baik dan lebih mulia daripada kejadian Nabi Adam a.s., yang hanya dibuat daripada tanah. Sebab itulah Iblis enggan mematuhi perintah Allah s.w.t. untuk sujud menghormati Adam.

Kerana keingkarannya dan keangkuhannya itu, Iblis diusir oleh Allah dan dikutuk sepanjang hayat. Setelah menerima hukuman yang dijatuhkan, Iblis merayu kepada Allah supaya melanjutkan usianya dan semua keturunannya sehingga Hari Kiamat.

Ia bersumpah akan menyesatkan semua manusia kecuali hamba-hamba Allah yang dipelihara-Nya, sebagaimana yang diceritakan dalam surah al-Hajr ayat 39-40.

Iblis berkata kepada Allah :
Aku akan sesatkan semua manusia, kecuali hamba-hamba-Mu yang disucikan. Syaitan berusaha walau dengan apa cara sekalipun untuk membalas dendam terhadap keturunan Adam, bukan sahaja kepada orang-orang yang lemah imannya,bahkan juga orang-orang yang kuat beribadat.

Syaitan tidak perlu bekerja keras untuk menyesatkan manusia yang lemah kepercayaannya terhadap kekuasaan Allah. Ini kerana godaan dan bisikannya mengenai kelazatan duniawi sudah cukup untuk melalaikan dan menghapuskan ingatan mereka terhadap Penciptanya.

Iman

Tetapi bagi orang-orang yang kuat imannya, selalu beribadat dan lebih mementingkan akhirat dari dunianya, mereka akan didekati dengan cara yang tidak langsung, iaitu dengan memberikan nasihat atau pandangan yang mendatangkan kebaikan pada zahirnya, tetapi secara perlahan-lahan dan pasti akan menarik mereka kepada kesesatan yang ditakutinya selama ini.

Menjelaskan usaha kuat syaitan menggoda manusia, Ibnu Jauzi menceritakan tentang seorang lelaki yang taat dan tidak mudah digoda oleh kemewahan hidup, tetapi akhirnya terperangkap ke dalam pujukan syaitan. Untuk memudahkan jalan cerita ini, kita namakan lelaki tersebut sebagai Salih.

Salih tinggal di sebuah surau kecil yang bertentangan dengan sebuah pondok yang disediakan untuk orang-orang yang musafir dan memerlukan pertolongan. Beberapa kali syaitan cuba menggodanya tetapi tidak berjaya. Sebaliknya bertambah kuat iman Salih dan bertambah banyak orang yang memeluk agama Allah. Melihat perkembangan ini syaitan semakin marah dan berusaha lebih kuat untuk menyesatkannya.

Kita tinggalkan Salih dan mengunjungi sebuah rumah yang terletak di sebelah kampung Salih. Di sini tiga orang lelaki bersaudara tinggal bersama seorang adik perempuannya. Ketika tiga bersaudara ini ditugaskan ke medan perang, mereka mencari jalan untuk menitipkan adik perempuannya yang cantik kepada seseorang yang boleh dipercayai.

Di sinilah syaitan memainkan peranannya dengan membisikkan cadangan supaya gadis yang masih remaja tadi diletakkan di bawah jagaan Salih.
Sedikit demi sedikit syaitan mula menjalankan rancangannya. Pada awalnya Salih yang sebelum ini menolak amanah tiga bersaudara tersebut, hanya menyediakan makanan si gadis di luar pondok kediamannya. Tetapi lama kelamaan dengan alasan-alasan yang dilogikkan, Salih mula berbual-bual dengan si gadis. Dan akhirnya, berlakulah perbuatan keji sehingga si gadis hamil dan melahirkan anak.

Direngkaskan cerita, syaitan yang tidak pernah mengenal istilah putus asa terus memujuk Salih dengan pelbagai cadangan yang pada zahirnya akan menyelesaikan masalah, tetapi sebenarnya semakin jauh memerangkap Salih dalam maksiat dan dosa besar yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Menyesatkan
Akhirnya, Salih melakukan pelbagai dosa besar; daripada zina, membunuh dan akhirnya syirik kerana mengikut pujukan syaitan yang menggodanya secara halus. Begitulah tekunnya syaitan menyesatkan manusia. Walaupun terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya, mereka tidak pernah penat dan jemu.

Oleh kerana itu, sesaat sahaja manusia terleka dan lalai terhadap Penciptanya, serta lupa bahawa syaitan adalah musuh yang utama dan paling nyata, syaitan akan terus menemaninya sepanjang hayatnya.

Kita harus sentiasa ingat pesan Rasulullah s.a.w. di atas bahawa syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti perjalanan darahnya. Begitu dekatnya Rasulullah s.a.w. membayangkan kedudukan syaitan pada diri manusia. Mari kita amalkan doa yang diajarkan di dalam surah al-Mukminun ayat 97-98 ini sebagai salah satu cara menjauhinya:

Tuhanku, aku mohon perlindungan-Mu daripada bisikan-bisikan (tipu daya) syaitan-syaitan. Dan aku mohon perlindungan-Mu supaya mereka tidak dapat mendekatiku. Amin ya rabbal alamin.

No comments:

Post a Comment