Saturday, November 24, 2012

Kaedah Meletakkan Hukum

Qawaid Fiqhiyyah (Kaedah-kaedah Fiqh) berasal dari himpunan dalil-dali daripada Al-Quran dan sunnah nabi S.A.W. Justeru itu, sebagaimana nas-nas syarak berperanan penting dalam kehidupan, demikianlah juga kaedah-kaedah yang terhasil daripadanya. Salah satu aspek penting dalam kehidupan muslim ialah aspek tarbiyyah dan dakwah. Oleh itu, antara kepentingan tajuk ini ialah:


1. Membuktikan bahawa aplikasi Qawaid Fiqhiyyah tidak terhad dalam bab hukum hakam ibadat sahaja, sebaliknya ia boleh bahkan perlu diaplikasikan di dalam kehidupan seluruhnya.


2. Tarbiyyah dan dakwah juga memerlukan aplikasi daripada kaedah-kaedah tersebut.


Contoh-contoh kaedah


Pertama:

الأمور بمقاصدها (Setiap perkara adalah berdasarkan maksudnya)


Aplikasi:

Dakwah adalah suatu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, oleh kerana itu, amalan ini mesti dimulakan dengan niat.
Tindakan menyertai perjuangan dakwah mungkin berdasarkan banyak sebab. Ada yang hanya untuk mengisi masa lapang, ada yang kerana terpaksa atau terjebak dalam keadaan, ada juga kerana kepentingan duniawi dan kemasyhuran. Oleh itu nilai aktiviti tarbiyyah dan dakwah ini bergantung kepada niat yang dipasang.
Keperihatinan terhadap golongan tertentu dalam masyarakat untuk didampingi dan dijadikan teman seperjuangan, apakah motifnya? Adakah kerana kekayaan dan pengaruhnya? Atau kerana hubungan kekeluargaan atau ….?
Dalam urusan ini selalu ada penentangan dan penolakan. Golongan yang menolak ini ada berbagai jenis dan gaya. Sebab penentangan itu juga berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, mereka yang sengaja memusuhi disebabakan mempertahankan kebatilan, tentu tidak wajar disamakan dengan mereka yang tersalah faham atau tidak mendapat maklumat yang betul.
Menegakkan kebenaran, mengemukakan hujah-hujah yang kukuh berdasarkan ilmu yang mapan adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah dan tarbiyyah. Tetapi ia mungkin dicemari dengan perasaan bangga diri, takbur dan merendahkan orang lain.
Persaingan boleh membawa kepada permusuhan dan sangka buruk. Prasangka buruk itu bermula dari hati.
Amar ma’ruf dan nahi munkar mestilah di atas dasar membenci kebatilan tetapi pada masa yang sama ia juga dilaksanakan atas nama kasih saying kerana Allah.

Kedua:

اليقين لا يزول بالشك (Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka)


Aplikasi:

Antara ciri utama pendakwah yang berjaya ialah sentiasa berhati-hati dalam membuat pendirian dan menjatuhkan hukuman ke atas satu-satu perkara. Justeru dia tidak mudah menyebarkan suatu perkhabaran tanpa terlebih dahulu mempastikan kebenarannya.
Apabila khabar angin, gossip dan fitnah sukar menembusi lubuk hatinya, tentulah perasaan berbaik sangka akan sentiasa subur. Apabila dia ingin menilai atau menghukum seseorang dia tidak mengasaskannya kepada sesuatu yang samara atau tidak pasti.
Dengan meletakkan baik sangka sebagai perhiasan hatinya dalam menilai mukmin (lebih-lebih lagi teman seperjuangan), ia dapat mengelakkan perpecahan dan perselisihan.

Ketiga:

المشقة تجلب التيسير (Kesukaran membawa kepada kemudahan)


Aplikasi:

Mudah adalah sifat agama yang telah Allah berikan dan ditunjuk ajar oleh ar-Rasul S.A.W. Oleh itu seruan kepada pengamalanya dan pembinaan insan di dalamnya mestilah menepati ciri yang Allah beri. Pendakwah mestilah menjauhi uslub yang menyusahkan kumpulan sasar atau yang menjadikan mereka semakin jauh.
Perkara ini menuntut kepada kefahaman yang mendalami tentang nas dan realiti. Justeru dalam keadaan kekurangan modal insan yang berkualiti tinggi untuk dibina sebagai pejuang, ‘bahan’ yang sedia ada tidak boleh dibazirkan. Ia perlu dibina mengikut kemampuannya.
Dakwah suatu urusan yang besar. Ia tidak mapu dipikul oleh seorang individu sahaja, jadi pengabungan dan penggemblengan tenaga mesti dilakukan.

Keempat:

الضرر يزال (Kemudaratan dihapuskan)


Aplikasi:

Memudaratkan manusia khususnya saudara seagama adalah dilarang. Oleh itu sebarang aktiviti amar makruf nahi munkar yang dilakukan perlu mengambilkira mudaratnya dapat ditanggung.
Oleh demikian juga, sebarang tindak balas terhadap pihak lawan hendaklah tidak melebihi batasan yang diizinkan syarak.
Untuk mengelakkan mudarat yang tidak tertanggung, perlu sentiasa ada penelitian yang bersepadu agar pertimbangan yang menyeluruh diambil.

No comments:

Post a Comment