Showing posts with label Fekah dan Kaedahnya. Show all posts
Showing posts with label Fekah dan Kaedahnya. Show all posts

Saturday, November 24, 2012

Kaedah Meletakkan Hukum

Qawaid Fiqhiyyah (Kaedah-kaedah Fiqh) berasal dari himpunan dalil-dali daripada Al-Quran dan sunnah nabi S.A.W. Justeru itu, sebagaimana nas-nas syarak berperanan penting dalam kehidupan, demikianlah juga kaedah-kaedah yang terhasil daripadanya. Salah satu aspek penting dalam kehidupan muslim ialah aspek tarbiyyah dan dakwah. Oleh itu, antara kepentingan tajuk ini ialah:


1. Membuktikan bahawa aplikasi Qawaid Fiqhiyyah tidak terhad dalam bab hukum hakam ibadat sahaja, sebaliknya ia boleh bahkan perlu diaplikasikan di dalam kehidupan seluruhnya.


2. Tarbiyyah dan dakwah juga memerlukan aplikasi daripada kaedah-kaedah tersebut.


Contoh-contoh kaedah


Pertama:

الأمور بمقاصدها (Setiap perkara adalah berdasarkan maksudnya)


Aplikasi:

Dakwah adalah suatu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, oleh kerana itu, amalan ini mesti dimulakan dengan niat.
Tindakan menyertai perjuangan dakwah mungkin berdasarkan banyak sebab. Ada yang hanya untuk mengisi masa lapang, ada yang kerana terpaksa atau terjebak dalam keadaan, ada juga kerana kepentingan duniawi dan kemasyhuran. Oleh itu nilai aktiviti tarbiyyah dan dakwah ini bergantung kepada niat yang dipasang.
Keperihatinan terhadap golongan tertentu dalam masyarakat untuk didampingi dan dijadikan teman seperjuangan, apakah motifnya? Adakah kerana kekayaan dan pengaruhnya? Atau kerana hubungan kekeluargaan atau ….?
Dalam urusan ini selalu ada penentangan dan penolakan. Golongan yang menolak ini ada berbagai jenis dan gaya. Sebab penentangan itu juga berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, mereka yang sengaja memusuhi disebabakan mempertahankan kebatilan, tentu tidak wajar disamakan dengan mereka yang tersalah faham atau tidak mendapat maklumat yang betul.
Menegakkan kebenaran, mengemukakan hujah-hujah yang kukuh berdasarkan ilmu yang mapan adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah dan tarbiyyah. Tetapi ia mungkin dicemari dengan perasaan bangga diri, takbur dan merendahkan orang lain.
Persaingan boleh membawa kepada permusuhan dan sangka buruk. Prasangka buruk itu bermula dari hati.
Amar ma’ruf dan nahi munkar mestilah di atas dasar membenci kebatilan tetapi pada masa yang sama ia juga dilaksanakan atas nama kasih saying kerana Allah.

Kedua:

اليقين لا يزول بالشك (Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka)


Aplikasi:

Antara ciri utama pendakwah yang berjaya ialah sentiasa berhati-hati dalam membuat pendirian dan menjatuhkan hukuman ke atas satu-satu perkara. Justeru dia tidak mudah menyebarkan suatu perkhabaran tanpa terlebih dahulu mempastikan kebenarannya.
Apabila khabar angin, gossip dan fitnah sukar menembusi lubuk hatinya, tentulah perasaan berbaik sangka akan sentiasa subur. Apabila dia ingin menilai atau menghukum seseorang dia tidak mengasaskannya kepada sesuatu yang samara atau tidak pasti.
Dengan meletakkan baik sangka sebagai perhiasan hatinya dalam menilai mukmin (lebih-lebih lagi teman seperjuangan), ia dapat mengelakkan perpecahan dan perselisihan.

Ketiga:

المشقة تجلب التيسير (Kesukaran membawa kepada kemudahan)


Aplikasi:

Mudah adalah sifat agama yang telah Allah berikan dan ditunjuk ajar oleh ar-Rasul S.A.W. Oleh itu seruan kepada pengamalanya dan pembinaan insan di dalamnya mestilah menepati ciri yang Allah beri. Pendakwah mestilah menjauhi uslub yang menyusahkan kumpulan sasar atau yang menjadikan mereka semakin jauh.
Perkara ini menuntut kepada kefahaman yang mendalami tentang nas dan realiti. Justeru dalam keadaan kekurangan modal insan yang berkualiti tinggi untuk dibina sebagai pejuang, ‘bahan’ yang sedia ada tidak boleh dibazirkan. Ia perlu dibina mengikut kemampuannya.
Dakwah suatu urusan yang besar. Ia tidak mapu dipikul oleh seorang individu sahaja, jadi pengabungan dan penggemblengan tenaga mesti dilakukan.

Keempat:

الضرر يزال (Kemudaratan dihapuskan)


Aplikasi:

Memudaratkan manusia khususnya saudara seagama adalah dilarang. Oleh itu sebarang aktiviti amar makruf nahi munkar yang dilakukan perlu mengambilkira mudaratnya dapat ditanggung.
Oleh demikian juga, sebarang tindak balas terhadap pihak lawan hendaklah tidak melebihi batasan yang diizinkan syarak.
Untuk mengelakkan mudarat yang tidak tertanggung, perlu sentiasa ada penelitian yang bersepadu agar pertimbangan yang menyeluruh diambil.

Artikel Fekah- Ijtihad

Ijtihad Bukti Islam Hormati Kebebasan Berfikir
Soal Jawab Agama: Ijtihad bukti Islam hormati kebebasan berfikir elak kepincangan
Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
bhagama@bharian.com.my

APAKAH maksud Ijtihad dalam suasana masyarakat kini dan sejauh mana akal manusia mampu menerokai sumber hukum dalam Islam melalui al-Quran dan hadis. Apakah Rasul dan sahabat berijtihad? Siapakah yang boleh berijtihad dan kriteria seorang mujtahid.

Ijtihad berasal daripada perkataan Ijtahada bermaksud usaha yang bersungguh-sungguh. Ia membawa pengertian :mengeluarkan sesuatu hukum dengan asas kefahaman mengikut penilaian kiasan berteraskan al-Quran dan sunnah di samping mengekalkan prinsip syariah.Ijtihad berlaku atas perkara yang tiada nas atau dalil jelas (sorih) terhadap permasalahan baru timbul berdasarkan perkembangan semasa.

Ada ulama menterjemahkan ijtihad sebagai proses usaha mengeluarkan sesuatu hukum syarak (istinbat) berteraskan al-Quran dan hadis Rasulullah. Baginda bersabda: "Sesiapa yang berijtihad dan benarlah ijtihadnya, maka dia akan mendapat dua kebajikan (pahala) dan jika salah ijtihadnya, maka ia mendapat satu kebajikan." (Al-hadis)

Ijtihad bertujuan menjaga kebajikan umat dan menghindarkan kepincangan masyarakat apabila timbul sesuatu masalah baru seperti urusan perbankan, sewa, insurans, bayi tabung uji, derma organ dan seribu satu masalah baru yang perlu dirungkai dan diselesaikan ulama dan cendekiawan.

Islam sentiasa membuka pintu untuk berijtihad dan memberi pandangan. Ini kerana Islam menghormati kebebasan berfikir dalam menggerakkan pemikiran yang sempurna di samping menggalakkan perbezaan pendapat. Sebab itu, banyak ayat Allah menyebut mengenai penggunaan akal fikiran.

Firman Allah: �Tidakkah kamu berfikir.� Ayat lain: �Tidakkah kamu mengambil pengajaran� dan �Tidakkah kamu melihat (dengan fikiran waras).�
Kesannya ialah keterbukaan minda dan percambahan pemikiran dalam menjana tamaddun pemikiran yang sihat untuk masa depan dan perkembangan umat.

Namun, penggunaan akal fikiran terbatas apabila berhadapan dengan nas al-Quran dan hadis yang merupakan hukum tetap (qat'i) yang tidak boleh dipinda walau sedikitpun. Firman Allah: "Maka demi Tuhanmu mereka tidak beriman sehingga memutuskan dengan apa yang ditetapkan olehmu (Muhammad) dalam perkara yang mereka selisihkan dan tiada rasa keberatan dalam hati mereka dengan keputusan tersebut dan menerima dengan sepenuhnya." (An-Nisa�: 65)

Mujtahid ialah seorang ulama' yang menghabiskan hidupnya dalam mengkaji permasalahan agama serta mempunyai pengkhususan dalam bidang hukum syarak.

Seorang mujtahid mestilah mempunyai ciri berikut iaitu berpengalaman dalam ilmu syarak (fekah) dan menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti tafsir, hadis dan ilmu bahasa Arab. Dia juga memahami kaedah kiasan dan rukunnya serta selok-belok penggunaan kias dalam hukum syarak.

Dekan Fakulti Dakwah Bahagian Feqah Al-Azhar, Dr Abd Rahman Adawi, menambah mujtahid mesti seorang yang hafal al-Quran dan memahami makna tersurat dan tersirat didalamnya sebagai syarat tambahan.

Dia juga mesti ikhlas dan bertanggungjawab terhadap Allah di samping mempunyai ketakwaan yang tinggi.

Selain itu, dia memahami bahawa sesuatu hukum yang diputuskan tidak bercanggah nas al-Quran dan hadis kerana ia adalah bersifat qat�i. Kaedah ilmu feqah menetapkan bahawa: 'Tiada ijtihad kepada perkara yang sudah mempunyai nas (dalil)'.

Memahami bahawa sesuatu hukum yang akan diumumkan itu belum lagi diputuskan oleh ulama terdahulu kerana kaedah hukum feqah mengatakan ijtihad tidak boleh dipadamkan dengan ijtihad.

Nabi Muhammad juga berijtihad kepada perkara yang tidak diwahyukan contohnya perjanjian dengan Musyrikin Madinah mengenai satu pertiga hasil kurma Madinah sehingga Saad bin Muaz berkata: "Jika keputusan ini adalah wahyu maka kami taat dan patuh dan jika ia adalah pandangan semata-mata, maka kami juga berhak memberi pandangan."

Kesimpulannya, penggunaan akal dalam mengeluarkan hukum adalah digalakkan dengan memelihara disiplin ilmu menerusi bayangan al-Quran dan hadis nabi.

Lesen untuk berijtihad adalah untuk mereka yang autoriti saja bagi memelihara kelangsungan umat dalam menangani permasalahan baru. Nabi Muhammad dan sahabat berijtihad demi menjaga kebajikan umat Islam atau menetapkan garis panduan syara' untuk diikuti oleh generasi selepasnya. Hendaklah berwaspada terhadap pemikiran orang-orang yang tiada autoriti dalam bidang hukum hakam kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.